Ini respon harith bila ramai pelik dah cerai pun boleh jalan sama2, baik2

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Harith Iskander, 58, tidak kekok dilihat sentiasa bersama bekas isterinya, Dr Jezamine Lim, 41, apabila masih keluar dan kelihatan bersama.

Sebaliknya, Harith akui orang lain pula berasa pelik melihat mereka masih menjalin hubungan baik selepas bercerai pada 25 Julai lalu.

“Kami tak pernah kekok pun untuk bekerjasama. Kalau sunyi saya boleh telefon bekas isteri. Cuma orang lain saja yang rasa janggal bila melihat kami masih berbaik walaupun sudah bercerai.

“Kehidupan kami selepas bercerai masih lagi sama, cuma kami perlu mengambil langkah baru dan cuba belajar berjalan sekali lagi.

“Itu bukan perkara baru kerana saya juga pernah melalui pengalaman tidak mempunyai pasangan sebelum berkahwin,” katanya ketika ditemui pada prosiding tuntutan hadanah dan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Pelakon itu memaklumkan anak-anak mereka juga memahami situasi yang berlaku dan tahu ia isu biasa orang dewasa.

“Penerimaan anak-anak sama saja kerana mereka sudah melihat berita perceraian itu di media sosial. Lagipun sejak awal lagi sudah jelaskan pada mereka kenapa kami perlu ke mahkamah dan juga ada liputan media.

“Sebelum ini pun mereka sudah terdedah dengan situasi ada peminat datang untuk bergambar bersama ketika kami pergi bercuti.

Mereka faham ini adalah dunia ayah dan ibu mereka. Tapi kalau di rumah kami biasa saja,” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Harith dan Jezamine bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14; Alessandra Jayne, 11; dan Zydane Zayne, yang berusia sembilan tahun.

Kredit : HarianMetro